Khamis, 5 Jun 2008

SELAMAT AMAN DAN SENGSARA

Pengumuman kerajaan mengenai kenaikan harga minyak kelmarin merupakan satu lagi bebanan yang perlu ditanggung oleh rakyat selepas kenaikan harga barang yang di luar kawalan.Pak Lah sekali dalam sesi penipuannya yang dibuat pada bulan Mac lalu menyatakan tiada sebarang kenaikan harga minyak sepanjang tahun ini. Berapa banyakkah agaknya sesi penipuan yang akan Pak Lah lakukan lagi selepas ini? Maka jawapan yang paling tepat adalah "lagi dan lagi dan lagi dan lagi......" Semua rakyat telah maklum dengan sifat munafik imam besar ajaran Islam Hadhari ini. Bukan hari ini Pak Lah berbohong tapi dah berkali-kali. Bahkan telah membusuk dan menanah di dalam batang tubuhnya.

Berikut adalah beberapa sesi penipuan Pak Lah yang sempat saya senarai hitamkan di ruangan ini:-

  • pada 23 Feb 2006 saya bersama bebarapa orang sahabat dari Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) yang terdiri daripada Kak Laila, Kak Nashita dan Kak Nuri ( Ustazah Nuridah - Ketua Muslimat PAS Pusat ) telah ke Felda Sendayan untuk menyerahkan surat tuntutan meminta supaya beliau selaku Menteri Dalam Negeri ketika membebaskan suami saya serta seluruh tahanan ISA yang lain. Semasa saya menyerahkan surat tersebut Pak Lah berjanji "...Insya ALLAH...Insya ALLAH..." kepada saya. Kini telah lebih 2 tahun ucapan mulia itu diucapkan tetapi Pak Lah gagal mengotakan janjinya. Kalimah insya ALLAH bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan oleh setiap individu muslim, tetapi kalimah itu merupakan satu janji yang menuntut setiap individu yang menyebutnya untuk berusaha sedaya upaya menunaikannya.
  • selepas kembalinya Allahyarham Datin Seri Endon ke rahmatullah Pah Lah pernah mengumumkan yang beliau tidak akan berkahwin lagi dalam masa yang terdekat. Tetapi tidak lama selepas itu ternyata beliau mengumumkan pula pernikahan beliau dengan isterinya yang sekarang ini.
  • Pak Lah mengumumkan bahawa pembubaran parlimen tidak akan berlaku dalam waktu yang terdekat.Namun tidak sampai tempoh 24 jam beliau sendiri mengumumkankan tarikh pembubaran tersebut.
  • pada bulan Mac lalu Pak Lah kata tiada kenaikan harga minyak sepanjang tahun ini, tetapi yang nyatanya sekali lagi Pak Lah melakukan persembahan silap matanya dengan mengumumkan kenaikan harga minyak sehingga 41%!!!

Mungkin selepas ini akan banyak lagi sesi penipuan yang akan dilakukan oleh Pak Lah. Sama-samalah kita tunggu dan lihat. Mungkinkah ini juga sebahagian daripada hadhari?

Inilah tindakan Pak Lah dalam menunaikan menifesto BN semasa PRU-12 yang lalu SELAMAT, AMAN DAN RAKYAT SENGSARA. Dan ia juga merupakan anugerah kepada seluruh rakyat Malaysia amnya dan kepada penyokong dan pengundi-pengundi BN. Pastinya penyokong serta pengundi BN menyambutnya dengan penuh rasa kesyukuran dan tidak sabar-sabar menanti kedatangan PRU-13 nanti.

Pastinya selepas ini para penyokong dan pengundi BN akan sentiasa terkenang-kenang akan anugerah yang tidak ternilai ini.Inilah anugerah yang akan menjadi kenangan terindah dalam hidup mereka yang akan mereka kisahkan kepada anak cucu mereka yang akan datang. Dan antara orang yang turut bergembira di atas anugerah ini adalah bekas pelajar UiTM yang telah memfailkan samannya terhadap Kerajaan Negeri Selangor ketika kerajaan yang baru berusia 2 bulan itu gagal melaksanakan menifesto pilihanrayanya kepada rakyat Selangor. Lebih-lebih lagi kini Kerajaan Malaysia/BN telah menunaikan menifesto pilihanrayanya yang lalu SELAMAT, AMAN DAN RAKYAT SENGSARA!