Khamis, 20 Mac 2008

Sekalung tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan

PRU-12 telah pun 12 hari berlalu dengan pelbagai perubahan suasana politik semasa sama ada di negeri-negeri yang ditadbir oleh Barisan Rakyat atau pun yang masih ditadbir oleh BN. Walau apa pun,kita perlu melihat perubahan ini secara positif. Barisan Rakyat yang telah berjaya dibentuk kini sedang berusaha untuk merealisasikan manifesto mereka. Rakyat yang telah memilih mereka perlu memberi sokongan padu kepada pemimpin yang telah dipilih. Tidak sepatutnya mereka terpengaruh dengan segala isu yang sedang dimainkan oleh BN bagi menunjukkan rakyat 'tersalah pilih' atau termakan segala janji-janji pembangkang semasa berkempen.

Sebagai rakyat yang cintakan kemakmuran dan kedamaian hendaklah bersatu hati tanpa menimbulkan segala isu yang boleh menimbulkan prasangka buruk di antara satu sama lain. BN memlalui UMNO sedang memainkan isu DEB. Rakyat perlu sedar DEB selama ini telah gagal membangunkan ekonomi orang-orang Melayu kerana jika kita lihat di merata-rata tempat masih ramai lagi orang Melayu yang hidup miskin, susah untuk mendapat peluang-peluang perniagaan kerana peluang-peluang yang ada dan sepatutnya menjadi milik rakyat telah menjadi hak milik mereka yang ada hubungkaitnya dengan pemimpin-pemimpin UMNO. Akhirnya yang kaya adalah mereka dan yang miskin akan terus miskin kerana peluang-peluang tersebut telah tertutup untuk mereka.

Tindakan KM Pulau Pinang untuk memberi peluang dan keutamaan tanpa mengira kaum perlu dilihat secara positif di mana pengagihan akan dibuat mengikut keutamaan dan keperluan tanpa mengambil kira latarbelakang sesuatu bangsa atau kaum. Setiap rakyat wajar untuk mengecapi keselesaan hidup. Adalah menjadi kewajipan pemerintah memastikan rakyat dapat hidup dalam keadaan yang selesa.

Kerajaan baru Selangor yang dipimpin oleh YAB Tan Sri Khalid Ibrahim kini sedang memacu negeri ini ke arah negeri maju dan berkebajikan. Pemberian air secara percuma sebanyak 20 meter padu yang pertama telah disambut dengan rasa syukur oleh seluruh rakyat Selangor. Inilah antara kebajikan rakyat yang tidak pernah difikirkan oleh pemimpin terdahulu. Sebaliknya mereka hanya berfikir bagaimana mereka boleh mengaut keuntungan di atas penderitaan rakyat.

Sekalung tahniah dan penghargaan untuk seluruh rakyat Malaysia yang telah memilih Barisan Rakyat untuk memimpin dan memelihara kebajikan rakyat. Tahniah juga kepada seluruh Ahli Parlimen dan ADUN dari Barisan Rakyat yang telah memenangi kerusi, berjuanglah untuk mengembalikan hak rakyat dan berilah pembelaan terhadap nasib rakyat yang tertindas selama ini.

Tiada ulasan: