Rabu, 6 Ogos 2008

BEBAS AKHIRNYA....

Petang Isnin (4 Ogos 08) baru-baru ini kira-kira pukul 3.30 petang saya saya telah dikejutkan dengan satu sms yang berbunyi ...Abdullah telah bebas dan dibawa ke PRC... antara percaya dan tak percaya.Lepas tu dapat pula satu missed call saya pun terus call semula nombor tu. Rupa-rupanya dari warden KEMTA yang iring suami saya ke PRC. Masih dalam perjalanan, cuma nak maklumkan suami saya dan Shahrial (suami Pn.Fatma) serta dua lagi tahanan ISA telah dibebaskan dari kem puaka Kamunting.Alhamdulillah... Ada yang bertanya bagaimana perasaan saya ketika menerima berita keramat ini. Sukar untuk digambarkan antara percaya dan tidak, saya seperti tidak percaya yang suami saya telah dibebaskan.Sebab sebelum ini saya merasakan dia tidak akan dibebaskan memandangkan telah 6 tahun 7 bulan dia ditahan dan saya merasakan dia akan selama-lamanya akan berada di kem puaka tersebut. Seperti mimpi rasanya...
Rasa sedih dan gembira bercampur baur dalam hati ini... gembira sebab Allah telah membebaskan beliau. Ini adalah anugerah buat kami di atas segala penderitaan yang telah kami alami selama ini. Dari segala tekanan emosi, keperitan, penderitaan, susah payah serta pahit maung yang dilalui selama ini begitu sukar untuk digambarkan oleh sesiapa yang tidak pernah mengalami dan melalui setiap apa yang telah berlangsung dalam hidup saya dan ia akan kekal sebagai sejarah hitam dan bukti kezaliman penahanan tanpa bicara dari pihak kerajaan terhadap kami sekeluarga.Selama 6 tahun 7 bulan saya dan Amjad hidup atas simpati orang lain. Amjad,sejak abinya ditahan pada 14 Januari 2002 membesar seperti anak yatim, terutama ketika hampir menyambut hari raya. Di saat itu ramai yang memberi sumbangan sama ada duit ataupun barang-barang keperluan untuk hari raya dan juga zakat kepada kami....Syukur Alhamdulillah, semoga segala kebaikan tersebut akan diterima sebagai amal soleh buat mereka.Tidak pernah kami melalui keperitan dan penderitaan sehebat begini sewaktu suami masih ada bersama kami dahulu. Benar seperti yang dikatakan oleh Amjad semasa seorang wartawan daripada sebuah majalah Islam bertanyakan perasaan dan keadaannya... Dia kata, "dulu semasa abi ada, kami hidup senang dan tak pernah susah macam ni, nak apa semua dapat. Sedih juga bila tengok orang lain ada ayah, tapi saya tak ada ayah, terutama bila hari raya..." Perasaan ibu mana yang tidak terhiris apabila perkataan tersebut keluar dari mulut anaknya dalam masa yang sama si ibu tidak mampu untuk memenuhi keinginan si anak.
Semoga Amjad gembira dengan khabar pembebasan abinya dan khabar ini menjadi penawar bagi mengubati hatinya yang terluka selama 6 tahun 7 bulan ini....
Kini hati saya semakin sayu kerana suami yang baru dibebaskan akan berada jauh dari saya dan Amjad. Dia akan dihantar pulang ke negara asalnya setelah taraf penduduk tetapnya ditarik. Nasibnya tidak sama seperti nasib BSA Tahir yang dikatakan terlibat dengan kes nuklear yang melibatkan SCOMI yang menjadi milik anak Pak Lah tu. BSA Tahir tidak pernah melalui siasatan 60 hari yang menakutkan dan penuh dengan seribu satu macam misteri. BSA Tahir terus dihantar ke KEMTA, dan tidak sampai dua tahun di sana dia diletakkan di bawah tahanan dalam rumah, ada anak, isteri dan keluarga bersamanya. Dan sekarang dia telah bebas dan tidak pula dilucutkan taraf penduduk tetapnya dan dia masih boleh hidup di Malaysia dan tidak di hantar balik ke Sri Lanka. Hebatnya Malaysia Boleh!!! Hanya kerana SCOMI dan kes nuklear dia masih boleh menetap di Malaysia.Tak tahu sebab apa undang-undang ini berubah-ubah seperti sesumpah, mungkin undang-undang ini dikecualikan kepada individu yang ada kaitan dengan SCOMI dan nuklear atau mungkin sebab menjadi menantu kepada seorang duta.
Terasa kami semakin jauh dan berjauhan....Hanya mengharap masih ada takdir dan ketentuan untuk kami kembali bersama suatu hari kelak.
Terima Kasih kepada rakan-rakan di GMI terutama kepada Tn.Syed Ibrahim yang tidak pernah kenal penat untuk terus berkempen memansuhkan ISA dan membebaskan tahanan, juga kepada sesiapa sahaja yang berdoa untuk kami serta seluruh mangsa kezaliman ISA yang lain.

3 ulasan:

ummu asiah berkata...

Alhamdulillah...

Wahai Ummu Amjad...moga dapat disatukan kembali..lawan tetap lawan..

dah 'dibebaskan' kenapa tak dilepaskan..

Teruskan Perjuangan Tn Syed Ibrahim dan rakan-rakan hingga semua dibebaskan dan ISA dimansuhkan...

AKUOKU berkata...

diaorg ni memang tak sudah2 nak menyiksa org. seronok sangat ke buat org tersiksa.

tak tahu nak kata apa dah. akak dan amjad mesti terus kuat, LAWAN TETAP LAWAN.

AKUOKU berkata...

hari kita pasti tiba! ummi orang yg kuat,kami kagum!