Khamis, 20 Mac 2008

Negeri berkebajikan - merealisasikan manifesto PRU-12

Negeri-negeri yang telah dimenangi oleh Barisan Rakyat telah pun selesai menerima watikah perlantikan menteri besar dan ketua menteri masing-masing.Cabaran perlantikan di peringkat awal telah dimanipulasikan oleh media-media arus perdana dengan tujuan untuk menutupi kemelut yang berlaku di Perlis dan Terengganu yang dimenangi oleh BN ketika itu.Kini perlantikan MB Perlis juga telah selesai apabila calon menteri besar yang baru menerima watikah perlantikan tersebut baru-baru ini. Kini hanya Terengganu Darul Kristal sahaja yang masih menjadi tanda tanya.Bekas menteri besar masih lagi berharap agar dilantik semula supaya dapat mengaut pelbagai keuntungan dari berbagai-bagai projek yang bakal dijalankan.

Kelantan di bawah pimpinan TG Nik Abdul Aziz tiada menghadapi sebarang masalah.Seluruh rakyat Kelantan dengan penuh bijaksana telah bersatu hati mengekalkan kerajaan yang ada.Rakyat Kelantan tidak pernah merasa negeri mereka dalam kesakitan yang kritikal walaupun Najib mengatakan Kelantan perlukan rawatan rapi (ICU?).Nyata sekali negeri yang dilanda kesakitan adalah P.Pinang,Kedah,Perak dan Selangor,berikutan itu rakyat telah bertindak untuk merawat keempat-empat negeri ini.

KM Pulau Pinang YAB Lim Guan Eng telah mengumumkan memansuhkan semua saman yang dikeluarkan oleh PBT sebelum ini sebagai hadiah kepada rakyat P.Pinang serta menghapuskan DEB di negeri itu.Namun penghapusan DEB telah dijadikan isu oleh mereka yang merasa tidak dapat lagi mengaut keuntungan atas nama Melayu. Sedangkan selama ini orang Melayu masih lagi berada di tahap kemiskinan walaupun ada DEB. Dengan adanya DEB yang kaya semakin kaya dan yang miskin akan terus kekal dalam kemiskinan.Siapakah yang kaya? Pastinya semua pemimpin-pemimpin UMNO serta suku-sakat mereka.Mereka merompak segala projek dan tender kerajaan. Polisi kerajaan baru P.Pinang hari ini ialah sesiapa sahaja yang susah mereka akan dibantiu tanpa mengira kaum dan agama.Rakyat harus memberi peluang kepada kerajaan baru ini untuk membuat perubahan dan tidak termakan hasutan oleh puak-puak yang tewas yang cuba mewujudkan suasana yang tegang seolah-olah hanya BN sahaja yang mampu membawa keamanan,keselamatan dan kemakmuran.Kita mesti percaya tidak ada seorang pun dari kalangan kita yang suka pergaduhan dan suasana yang tidak tenteram.

Menteri Besar Selangor yang baru YAB TanSri Khalid Ibrahim baru-baru ini mengumumkan rakyat negeri ini akan menikmati bekalan air percuma sebanyak 20 meter padu yang pertama. Pengumuman ini telah disambut baik oleh seluruh rakyat Selangor. Kita percaya Selangor bukan sahaja akan terus menjadi negeri maju, bahkan akan menjadi negeri kebajikan apabila kerajaan negeri melaksanakan manifestonya.Walaupun selama ini Selangor dikenali sebagai negeri maju, tetapi masih ramai lagi penduduk negeri ini yang dihimpit kemiskinan,tidak mempunyai tanah sendiri seperti penduduk setinggan.Kerajaan BN negeri ini telah banyak menindas rakyat dengan merobohkan penempatan-penempatan setinggan serta rumah-rumah ibadat seperti surau dan kuil.Kita percaya antara punca kejatuhan BN di negeri ini adalah dari doa-doa mereka yang ditindas dan dizalimi oleh kerajaan BN.Khair Toyo lupa kepada kuasa yang lebih mengatasinya. Dia lupa bahawa rakyat adalah amanah ALLAH yang perlu dijaga dan diberi keutamaan.

Kepada semua KM,MB EXCO dan ADUN dari Barisan Rakyat, jadikanlah semua perkara yang telah berlaku sebagai satu iktibar dan pengajaran dalam pentadbir kerajaan negeri masing-masing.Dengarilah rintihan suara hati rakyat,sedialah membuka pintu untuk rakyat bertemu dan rapatkanlah hubungan agar rakyat tidak merasa tersisih. Mudah-mudahan Allah memudahkan urusan YAB dan YB sekelian untuk mentadbir apabila YAB dan YB sekelian memudahkan urusan rakyat.

Sekalung tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan

PRU-12 telah pun 12 hari berlalu dengan pelbagai perubahan suasana politik semasa sama ada di negeri-negeri yang ditadbir oleh Barisan Rakyat atau pun yang masih ditadbir oleh BN. Walau apa pun,kita perlu melihat perubahan ini secara positif. Barisan Rakyat yang telah berjaya dibentuk kini sedang berusaha untuk merealisasikan manifesto mereka. Rakyat yang telah memilih mereka perlu memberi sokongan padu kepada pemimpin yang telah dipilih. Tidak sepatutnya mereka terpengaruh dengan segala isu yang sedang dimainkan oleh BN bagi menunjukkan rakyat 'tersalah pilih' atau termakan segala janji-janji pembangkang semasa berkempen.

Sebagai rakyat yang cintakan kemakmuran dan kedamaian hendaklah bersatu hati tanpa menimbulkan segala isu yang boleh menimbulkan prasangka buruk di antara satu sama lain. BN memlalui UMNO sedang memainkan isu DEB. Rakyat perlu sedar DEB selama ini telah gagal membangunkan ekonomi orang-orang Melayu kerana jika kita lihat di merata-rata tempat masih ramai lagi orang Melayu yang hidup miskin, susah untuk mendapat peluang-peluang perniagaan kerana peluang-peluang yang ada dan sepatutnya menjadi milik rakyat telah menjadi hak milik mereka yang ada hubungkaitnya dengan pemimpin-pemimpin UMNO. Akhirnya yang kaya adalah mereka dan yang miskin akan terus miskin kerana peluang-peluang tersebut telah tertutup untuk mereka.

Tindakan KM Pulau Pinang untuk memberi peluang dan keutamaan tanpa mengira kaum perlu dilihat secara positif di mana pengagihan akan dibuat mengikut keutamaan dan keperluan tanpa mengambil kira latarbelakang sesuatu bangsa atau kaum. Setiap rakyat wajar untuk mengecapi keselesaan hidup. Adalah menjadi kewajipan pemerintah memastikan rakyat dapat hidup dalam keadaan yang selesa.

Kerajaan baru Selangor yang dipimpin oleh YAB Tan Sri Khalid Ibrahim kini sedang memacu negeri ini ke arah negeri maju dan berkebajikan. Pemberian air secara percuma sebanyak 20 meter padu yang pertama telah disambut dengan rasa syukur oleh seluruh rakyat Selangor. Inilah antara kebajikan rakyat yang tidak pernah difikirkan oleh pemimpin terdahulu. Sebaliknya mereka hanya berfikir bagaimana mereka boleh mengaut keuntungan di atas penderitaan rakyat.

Sekalung tahniah dan penghargaan untuk seluruh rakyat Malaysia yang telah memilih Barisan Rakyat untuk memimpin dan memelihara kebajikan rakyat. Tahniah juga kepada seluruh Ahli Parlimen dan ADUN dari Barisan Rakyat yang telah memenangi kerusi, berjuanglah untuk mengembalikan hak rakyat dan berilah pembelaan terhadap nasib rakyat yang tertindas selama ini.

Isnin, 10 Mac 2008

Warna-warni selepas pilihanraya

Alhamdulillah,pilihanraya telah pun berakhir dan sekaligus menjadi saksi dan bukti bahawa PKR tetap relevan dan DSAI masih lagi diterima oleh rakyat.Kita semua percaya seluruh rakyat masih lagi berharapkan DSAI menjadi PM.BN sebelum ini begitu angkuh untuk merebut Kelantan dan menabur berbagai-bagai janji sekiranya mereka berkuasa di Kelantan selepas pilihan raya.Begitu juga sikap mereka yang begitu mempertahankan Terengganu Darul Kristal daripada terlepas ke tangan PAS telah berjaya melepaskan Selangor,Perak,Pulau Pinang dan Kedah kepada BA.
Negeri Sembilan misalnya yang sebelum ini sukar untuk ditembusi pembangkang terutamanya PAS dan PKR telah menyaksikan satu gelombang kebangkitan di mana rakyat mula memilih untuk memberikan undi mereka kepada pembangkang. Jika dilihat daripada keputusan undi,kesedaran untuk berubah ini berlaku di kawasan bandar seperti Seremban,Port Dickson dan Bahau.Mereka telah mempunyai kesedaran bahawa BN selama ini telah banyak mengabaikan tanggungjawab terhadap rakyat kerana terlalu asyik dan leka untuk mengaut keuntungan dan kemewahan,rasuah,korupsi dan mengutamakan kroni.Rakyat juga dilihat lebih berinformasi jika di bandingkan dengan mereka yang tinggal di kawasan-kawasan yang dikuasai oleh BN.Rata-rata kawasan yang dikuasai oleh BN adalah terdiri daripada kawasan kampung-kampung dan luar bandar yang tidak terdedah dengan maklumat di mana penduduknya terdiri daripada orang-orang tua,penganggur atau anak muda yang bersedia untuk dipergunakan oleh BN dengan diberikan sedikit bayaran.Mereka dimomokkan dengan berbagai-bagai hasutan seperti jika pembangkang memerintah mereka akan susah dan makan ubi kayu seperti di zaman Jepun,akan huru-hara dan juga ditajut-takutkan dengan Peristiwa 13 Mei.
Keadaan ini kebanyakkannya berlaku di kawasan yang masyarakatnya terdiri daripada orang Melayu.Sebagai contoh di Jelebu. Semasa pengiraan undi dijalankan di pusat-pusat pengundian yang majoriti penduduknya adalah orang Melayu,hanya sebilangan kecil sahaja yang memberikan undi mereka kepada calon PAS.Sebaliknya penduduk yang membuang undi di MRSM telah memberikan undi mereka kepada calon PAS.Siapakah mereka?Mereka terdiri daripada masyarakat Cina.Jika masyarakat Cina boleh memberikan undi mereka kepada calon PAS,Mengapa masyarakat Melayu masih lagi ragu-ragu untuk inginkan perubahan?
Dewan Undangan Negeri Sembilan kini mempunyai suara pembangkang yang besar di mana jika di lihat daripada kemenangan calon BA,kerajaan negeri gagal mempertahankan majoriti 2/3. Ini bermakna mereka tidak boleh lagi membuat kepetusan sesuka hati mereka sahaja lagi.Bukan sahaja di N.Sembilan, bahkan di peringkat pusat juga BN gagal mendapat mojoriti 2/3.
Tahniah untuk seluruh rakyat Malaysia yang inginkan arus perubahan ini.Fenomena ini juga merupakan satu kegagalan dan tamparan yang hebat kpd BN yang selama ini tidak pernah prihatin terhadap penderitaan rakyat dengan kenaikan harga minyak serta harga barang yang gagal dikawal.

Khamis, 6 Mac 2008

Jalan raya di musim pilihanraya

Petang tadi tatkala melalui Jalan Reko menuju ke Bandar Baru Bangi, kenderaan bergerak perlahan tidak selancar seperti biasa. Jalan raya yang biasanya dibuka dua lorong tapi petang tadi menjadi satu lorong sahaja.Jangkaan awal menyangka kemungkinan ada berlaku kemalangan di hadapan. Rupa-rupanya dilorong sebelah kiri terdapat kerja-kerja membaikpulih jalan raya sedang dilakukan.
Setelah sampai di kawasan Sungai Merab berhadapan dengan Rimbun Klasik satu lagi pemandangan yang sama turut kelihatan. Jika difikirkan telah sekian lama jalan raya di sepanjang Jalan Reko dan di hadapan Rimbun Klasik tersebut rosak. Bertahun-tahun pengguna yang melalui jalan tersebut terpaksa berhadapan dengan jalan yang pecah-pecah serta berlubang-lubang. Tetapi mengapa dalam tempoh beberapa jam lagi PRU - 12 akan berlangsung maka jalan-jalan tersebut perlu diperbaiki dalam keadaan tergesa-gesa. Inilah yang dikatakan jalan pilihan raya.
Pagi tadi semasa di tempat kerja seorang kawan berbangsa India memberi tahu bahawa petang kelmarin dia terkejut apabila mendapati keadaan taman perumahannya berubah wajah seperti taman perumahan baru kerana semua jalan di kawasan tersebut telah diturap, sehingga anaknya berkata "mummy, saya rasa seperti baru berpindah ke rumah baru".
Inilah fenomena dimusim pilihan raya. Namun begitu kawan tadi tetap mengatakan "makhal sakhti" akan mengubah keadaan dalam PRU - 12 ini.
Semoga semua pejuang rakyat akan menjadi pilihan rakyat. Seluruh rakyat berdoa dan mengharapkan kemenangan mereka, insya ALLAH.

Salam pertemuan

Assalamualaikum. salam perkenalan dan salam PRU - 12.
Walaupun masih baru diarena blog ini, namun saya berharap semua pengunjung dapat memberi komen yang membina untuk saya terus menulis. Insaya ALLAH, saya akan sentiasa mengemaskinikan blog ini supaya kita semua dapat berkongsi maklumat.
8 Mac akan menjelang dalam tempoh beberapa jam sahaja dari sekarang, sebagai rakyat yang bertangggungjawab sama-samalah kita keluar mengundi pada hari tersebut. Gunakan hak kita dengan bijak bagi memastikan negara ini tidak tergadai ke tangan asing, pilihlah pemimpin yang bersih,bermaruah serta mereka yang mengutamakan rakyat daripada diri sendiri, anak isteri dan kroni.
Kita perlu bijak menilai watak seseorang yang bakal menjadi calon dlm PRU-12 kali ini.Jangan hanya memilih mereka hanya kerana mereka mempunyai kekayaan (yang dikaut dari perbendaharaan negara), tetapi pilihlah mereka yang mengutamakan kebajikan rakyat. Berilah peluang kepada mereka yang ingin membuat kebajikan.Negara-negara maju telah lama mengamalkan negara kebajikan untuk memastikan rakyat dapat hidup dalam keadaan yang lebih selesa.
Selama ini rakyat dipaksa menanggung kos kehidupan pemimpin yang rakus serta tidak pernah rasa cukup dengan gaji serta elaun yang mereka perolehi.Mereka tidak sedar serta tidak merasai penderitaan rakyat kerana mereka hidup dalam serba kemewahan. Mereka tidak merasai kenaikan harga barang,cukai serta harga petrol.
Oleh itu jadikan 8 Mac sebagai penentu kita sama ada kita inginkan negara kebajikan atau masih lagi ingin menanggung sara hidup pemimpin yang sedia ada. Berilah peluang kepada BA, kita lihat keupayaan mereka untuk satu penggal ini.
Selamat mengundi.