Khamis, 24 Disember 2009

Azam Tahun Baru Hijrah...

Dah lama saya tak menjengah ke blog saya ni... hari ni tiba-tiba jadi rindu untuk menulis setelah lebih setahun yang lalu sya tinggalkan alam blog ni. Bukan tak nak updatekan, tapi sejak bulan Ogos tahun lepas saya sibuk dengan KDP, assignment dan exam....lepas selesai KDP. kerja pula bertimbun-timbun...

Sekarang dah sibuk semula dengan kuliah, assignment dan exam... inilah kehidupan yang tak pernah akan dapat dipisahkan dari kesibukan....

Insya Allah, saya akan kembali lagi ke alam blog ini......

Rabu, 6 Ogos 2008

BEBAS AKHIRNYA....

Petang Isnin (4 Ogos 08) baru-baru ini kira-kira pukul 3.30 petang saya saya telah dikejutkan dengan satu sms yang berbunyi ...Abdullah telah bebas dan dibawa ke PRC... antara percaya dan tak percaya.Lepas tu dapat pula satu missed call saya pun terus call semula nombor tu. Rupa-rupanya dari warden KEMTA yang iring suami saya ke PRC. Masih dalam perjalanan, cuma nak maklumkan suami saya dan Shahrial (suami Pn.Fatma) serta dua lagi tahanan ISA telah dibebaskan dari kem puaka Kamunting.Alhamdulillah... Ada yang bertanya bagaimana perasaan saya ketika menerima berita keramat ini. Sukar untuk digambarkan antara percaya dan tidak, saya seperti tidak percaya yang suami saya telah dibebaskan.Sebab sebelum ini saya merasakan dia tidak akan dibebaskan memandangkan telah 6 tahun 7 bulan dia ditahan dan saya merasakan dia akan selama-lamanya akan berada di kem puaka tersebut. Seperti mimpi rasanya...
Rasa sedih dan gembira bercampur baur dalam hati ini... gembira sebab Allah telah membebaskan beliau. Ini adalah anugerah buat kami di atas segala penderitaan yang telah kami alami selama ini. Dari segala tekanan emosi, keperitan, penderitaan, susah payah serta pahit maung yang dilalui selama ini begitu sukar untuk digambarkan oleh sesiapa yang tidak pernah mengalami dan melalui setiap apa yang telah berlangsung dalam hidup saya dan ia akan kekal sebagai sejarah hitam dan bukti kezaliman penahanan tanpa bicara dari pihak kerajaan terhadap kami sekeluarga.Selama 6 tahun 7 bulan saya dan Amjad hidup atas simpati orang lain. Amjad,sejak abinya ditahan pada 14 Januari 2002 membesar seperti anak yatim, terutama ketika hampir menyambut hari raya. Di saat itu ramai yang memberi sumbangan sama ada duit ataupun barang-barang keperluan untuk hari raya dan juga zakat kepada kami....Syukur Alhamdulillah, semoga segala kebaikan tersebut akan diterima sebagai amal soleh buat mereka.Tidak pernah kami melalui keperitan dan penderitaan sehebat begini sewaktu suami masih ada bersama kami dahulu. Benar seperti yang dikatakan oleh Amjad semasa seorang wartawan daripada sebuah majalah Islam bertanyakan perasaan dan keadaannya... Dia kata, "dulu semasa abi ada, kami hidup senang dan tak pernah susah macam ni, nak apa semua dapat. Sedih juga bila tengok orang lain ada ayah, tapi saya tak ada ayah, terutama bila hari raya..." Perasaan ibu mana yang tidak terhiris apabila perkataan tersebut keluar dari mulut anaknya dalam masa yang sama si ibu tidak mampu untuk memenuhi keinginan si anak.
Semoga Amjad gembira dengan khabar pembebasan abinya dan khabar ini menjadi penawar bagi mengubati hatinya yang terluka selama 6 tahun 7 bulan ini....
Kini hati saya semakin sayu kerana suami yang baru dibebaskan akan berada jauh dari saya dan Amjad. Dia akan dihantar pulang ke negara asalnya setelah taraf penduduk tetapnya ditarik. Nasibnya tidak sama seperti nasib BSA Tahir yang dikatakan terlibat dengan kes nuklear yang melibatkan SCOMI yang menjadi milik anak Pak Lah tu. BSA Tahir tidak pernah melalui siasatan 60 hari yang menakutkan dan penuh dengan seribu satu macam misteri. BSA Tahir terus dihantar ke KEMTA, dan tidak sampai dua tahun di sana dia diletakkan di bawah tahanan dalam rumah, ada anak, isteri dan keluarga bersamanya. Dan sekarang dia telah bebas dan tidak pula dilucutkan taraf penduduk tetapnya dan dia masih boleh hidup di Malaysia dan tidak di hantar balik ke Sri Lanka. Hebatnya Malaysia Boleh!!! Hanya kerana SCOMI dan kes nuklear dia masih boleh menetap di Malaysia.Tak tahu sebab apa undang-undang ini berubah-ubah seperti sesumpah, mungkin undang-undang ini dikecualikan kepada individu yang ada kaitan dengan SCOMI dan nuklear atau mungkin sebab menjadi menantu kepada seorang duta.
Terasa kami semakin jauh dan berjauhan....Hanya mengharap masih ada takdir dan ketentuan untuk kami kembali bersama suatu hari kelak.
Terima Kasih kepada rakan-rakan di GMI terutama kepada Tn.Syed Ibrahim yang tidak pernah kenal penat untuk terus berkempen memansuhkan ISA dan membebaskan tahanan, juga kepada sesiapa sahaja yang berdoa untuk kami serta seluruh mangsa kezaliman ISA yang lain.

Khamis, 5 Jun 2008

SELAMAT AMAN DAN SENGSARA

Pengumuman kerajaan mengenai kenaikan harga minyak kelmarin merupakan satu lagi bebanan yang perlu ditanggung oleh rakyat selepas kenaikan harga barang yang di luar kawalan.Pak Lah sekali dalam sesi penipuannya yang dibuat pada bulan Mac lalu menyatakan tiada sebarang kenaikan harga minyak sepanjang tahun ini. Berapa banyakkah agaknya sesi penipuan yang akan Pak Lah lakukan lagi selepas ini? Maka jawapan yang paling tepat adalah "lagi dan lagi dan lagi dan lagi......" Semua rakyat telah maklum dengan sifat munafik imam besar ajaran Islam Hadhari ini. Bukan hari ini Pak Lah berbohong tapi dah berkali-kali. Bahkan telah membusuk dan menanah di dalam batang tubuhnya.

Berikut adalah beberapa sesi penipuan Pak Lah yang sempat saya senarai hitamkan di ruangan ini:-

  • pada 23 Feb 2006 saya bersama bebarapa orang sahabat dari Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) yang terdiri daripada Kak Laila, Kak Nashita dan Kak Nuri ( Ustazah Nuridah - Ketua Muslimat PAS Pusat ) telah ke Felda Sendayan untuk menyerahkan surat tuntutan meminta supaya beliau selaku Menteri Dalam Negeri ketika membebaskan suami saya serta seluruh tahanan ISA yang lain. Semasa saya menyerahkan surat tersebut Pak Lah berjanji "...Insya ALLAH...Insya ALLAH..." kepada saya. Kini telah lebih 2 tahun ucapan mulia itu diucapkan tetapi Pak Lah gagal mengotakan janjinya. Kalimah insya ALLAH bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan oleh setiap individu muslim, tetapi kalimah itu merupakan satu janji yang menuntut setiap individu yang menyebutnya untuk berusaha sedaya upaya menunaikannya.
  • selepas kembalinya Allahyarham Datin Seri Endon ke rahmatullah Pah Lah pernah mengumumkan yang beliau tidak akan berkahwin lagi dalam masa yang terdekat. Tetapi tidak lama selepas itu ternyata beliau mengumumkan pula pernikahan beliau dengan isterinya yang sekarang ini.
  • Pak Lah mengumumkan bahawa pembubaran parlimen tidak akan berlaku dalam waktu yang terdekat.Namun tidak sampai tempoh 24 jam beliau sendiri mengumumkankan tarikh pembubaran tersebut.
  • pada bulan Mac lalu Pak Lah kata tiada kenaikan harga minyak sepanjang tahun ini, tetapi yang nyatanya sekali lagi Pak Lah melakukan persembahan silap matanya dengan mengumumkan kenaikan harga minyak sehingga 41%!!!

Mungkin selepas ini akan banyak lagi sesi penipuan yang akan dilakukan oleh Pak Lah. Sama-samalah kita tunggu dan lihat. Mungkinkah ini juga sebahagian daripada hadhari?

Inilah tindakan Pak Lah dalam menunaikan menifesto BN semasa PRU-12 yang lalu SELAMAT, AMAN DAN RAKYAT SENGSARA. Dan ia juga merupakan anugerah kepada seluruh rakyat Malaysia amnya dan kepada penyokong dan pengundi-pengundi BN. Pastinya penyokong serta pengundi BN menyambutnya dengan penuh rasa kesyukuran dan tidak sabar-sabar menanti kedatangan PRU-13 nanti.

Pastinya selepas ini para penyokong dan pengundi BN akan sentiasa terkenang-kenang akan anugerah yang tidak ternilai ini.Inilah anugerah yang akan menjadi kenangan terindah dalam hidup mereka yang akan mereka kisahkan kepada anak cucu mereka yang akan datang. Dan antara orang yang turut bergembira di atas anugerah ini adalah bekas pelajar UiTM yang telah memfailkan samannya terhadap Kerajaan Negeri Selangor ketika kerajaan yang baru berusia 2 bulan itu gagal melaksanakan menifesto pilihanrayanya kepada rakyat Selangor. Lebih-lebih lagi kini Kerajaan Malaysia/BN telah menunaikan menifesto pilihanrayanya yang lalu SELAMAT, AMAN DAN RAKYAT SENGSARA!

Khamis, 15 Mei 2008


MENYERIKAN KEHIDUPAN DENGAN HADIS RASULULLAH S.A.W.


عَنْ زَيْدِ بْنِ ثَابِتٍ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ نَضَّرَ اللَّهُ امْرَأً سَمِعَ مِنَّا حَدِيثًا فَحَفِظَهُ حَتَّى يُبَلِّغَهُ فَرُبَّ حَامِلِ فِقْهٍ إِلَى مَنْ هُوَ أَفْقَهُ مِنْهُ وَرُبَّ حَامِلِ فِقْهٍ لَيْسَ بِفَقِيهٍ
Daripada Zaid bin Thabit katanya, saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Semoga Allah menyinari seseorang yang mendengar sesuatu hadis daripada kami lalu dia menyampaikannya mengikut apa yang didengari. Maka betapa ramai orang yang membawa ilmu lalu menyampaikannya kepada orang yang lebih faham daripadanya dan berapa ramai orang yang membawa ilmu tetapi ia tidak memahaminya." (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah)

Hadis ini menunjukkan kelebihan menyebarkan ilmu hadis iaitu kehidupan akan menjadi berseri dan bercahaya. Kata Sufyan bin`Uyainah: "Tidak ada seorangpun dari kalangan ahli Hadis melainkan pada wajahnya ada sinar berdasarkan kepada hadis ini" (al-Suyuti, Tadrib al-Rawi Syarh Taqrib al-Nawawi, hal. 360)
Rasulullah sa.w. mendoakan khusus untuk umatnya yang melibatkan diri dengan pengajian hadis. Tidak ada doa yang dapat menandingi doa baginda kerana ia pasti diterima.

عن ابن عباس قال : سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : « اللهم ارحم خلفاءنا » ، قلنا : يا رسول الله ، وما خلفاؤكم ؟ قال : « الذين يأتون من بعدي ، يروون أحاديثي وسنتي ، ويعلمونها الناس »
Daripada Ibn ‘Abbas katanya saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Ya Allah, rahmatilah khalifah-khalifah kami. Kami beritanya. "Siapakah khalifah-khalifahmu? Baginda menjawab: "Mereka yang datang selepasku dan meriwayatkan hadis-hadisku dan sunnahku serta mengajarkannya kepada orang ramai" (hadis riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsat)
Doa dalam hadis pertama dengan seri dan cahaya manakala dalam hadis kedua doa dengan mendapat rahmat daripada Allah.
Ilmu hadis adalah ilmu yang mulia kerana ia merupakan penghubung antara kita dengan Rasulullah s.a.w. Segala perkara yang berkaitan dengan Rasulullah s.a.w. sama ada ucapan, perbuatan, pengakuan dan sifat akan diketahui bagi sesiapa yang melibatkan diri dengan ilmu hadis. Dengan mempelajari ilmu ini, kita dapat mengenal pasti kesahihan sesuatu perkara yang dinisbahkan kepada Rasulullah s.a.w. Sebaliknya, jika tidak ada ketelitian dan kecermatan, pasti akan mendapat ancaman dan amaran daripada baginda.
عَنْ حَفْصِ بْنِ عَاصِمٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ
Daripada Hafs bin ‘Asim katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Cukup bagi seseorang itu sebagai pendusta dengan menceritakan apa sahaja yang dia dengar". (Riwayat Muslim dan Abu Daud)
عَنْ الْمُغِيرَةِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ
Daripada al-Mughirah katanya saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya berdusta atas namaku bukan seperti berdusta atas nama salah seorang kamu. Maka sesiapa dengan sengaja berdusta atas namaku, hendaklah dia menyediakan tempatnya di dalam neraka". (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Selain itu, hadis di atas juga mengisyaratkan beberapa kaedah yang mesti dijaga dalam periwayatan hadis. Pertama, memastikan kesahihan berita yang disandarkan kepada Rasulullah s.a.w. Bukanlah setiap yang dikaitkan dengan baginda boleh diterima terus tanpa diselidiki. Ia mestilah dikaji dan dinilai mengikut kaedah riwayah dan dirayah.
Kedua, mendengar dengan penuh perhatian supaya lafaz asal dijaga dan diingati. Setiap lafaz perlu diteliti kerana kesilapan lafaz boleh membawa kepada perubahan makna yang membawa kepada berlakunya tashif. Tashif adalah kesilapan yang dilakukan oleh perawi dalam menerima dan menyampaikan hadis yang menyebabkan hadis menjadi dha`if.
Ketiga, setiap hadis yang dipelajari mestilah disampaikan kerana di kalangan yang mendengar itu ada yang mempunyai kefahaman yang lebih dan hadis itu dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Kefahaman tentang hadis termasuklah mengkaji dan merenung maksud-maksudnya serta menyimpulkan hukum dan pengajaran daripadanya. Seseorang yang mempelajari hadis akan sentiasa menyesuaikan dirinya dengan sunnah dan petunjuk Rasulullah s.a.w. Dia menyedari bahawa setiap aspek kehidupannya akan ada kaitan dengan Rasulullah s.a.w. Ini kerana keperibadian Rasulullah s.a.w. bukan setakat rasul membawa risalah Allah tetapi meliputi tanggungjawab sebagai guru, pendidik, pemimpin, hakim, panglima tentera, ketua keluarga, suami, bapa, datuk, jiran tetangga, sahabat kepada temannya. Justeru, amat wajarlah, kita mempelajari sunnah Rasulullah s.a.w. kerana tugas hidup setiap individu tidak terlepas satupun daripada aspek di atas. Berdasarkan kepada hakikat inilah Allah s.w.t. menitahkan kepada kita supaya menjadikan Rasulullah s.a.w. sebagai suri teladan.
Mengapa kehidupan bercahaya dengan hadis-hadis Rasulullah s.a.w.?
Rasulullah s.a.w. sendiri adalah cahaya. Allah s.w.t. menyifatkan baginda sebagai cahaya petunjuk dan juga pembawa rahmat. Pengutusan baginda bersifat dengan cahaya lantaran al-Qur’an yang baginda diperintahkan supaya menjelaskannya kepada umat adalah cahaya. Allah s.w.t. berfirman:
يَا أَهْلَ الْكِتَابِ قَدْ جَاءَكُمْ رَسُولُنَا يُبَيِّنُ لَكُمْ كَثِيرًا مِمَّا كُنْتُمْ تُخْفُونَ مِنَ الْكِتَابِ وَيَعْفُو عَنْ كَثِيرٍ قَدْ جَاءَكُمْ مِنَ اللَّهِ نُورٌ وَكِتَابٌ مُبِينٌ . يَهْدِي بِهِ اللَّهُ مَنِ اتَّبَعَ رِضْوَانَهُ سُبُلَ السَّلَامِ وَيُخْرِجُهُمْ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ بِإِذْنِهِ وَيَهْدِيهِمْ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ
Wahai Ahli Kitab! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Kami (Muhammad, s.a.w) dengan menerangkan kepada kamu banyak dari (keterangan-keterangan dan hukum-hukum) yang telah kamu sembunyikan dari Kitab Suci dan Dia memaafkan kamu (dengan tidak mendedahkan) banyak perkara (yang kamu sembunyikan). Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata keterangannya.
Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaanNya dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izinNya dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus. (al-Maidah 15-16)
Lafaz-lafaz hadis yang dibaca dan didengar lalu diulang-ulang akan menghasilkan pancaran cahaya dalam kehidupan seseorang. Mengapa tidak berlaku demikian sedangkan tugas Rasulullah s.a.w. adalah untuk menjelaskan maksud al-Qur’an yang datang dari Allah yang memberikan cahaya kepada alam semesta. Dialah yang menciptakan cahaya dan dari-Nya datangnya cahaya itu.
Sejarah mencatatkan pengalaman ulama hadis yang hidup mereka sentiasa diberkati Allah kerana seluruh hidup mereka diabadikan untuk mengumpulkan hadis-hadis dan menghuraikannya. Walaupun hidup dalam keadaan kesukaran dan kesempitan, hati mereka sentiasa tenang. Tidak lain dan tidak bukan kerana yakin, mengharapkan dan menanti ganjaran pahala di akhirat.

Sumber: www.darulkautsar.com

Ahad, 13 April 2008

Balasan dari kebiadaban filem "Fitna"

(The Bible version of Fitna) - video SCHISM balas video FITNA
JEDDAH: Seorang penulis blog Arab Saudi berjaya menghasilkan sebuah video selama enam minit berjudul Schism dengan memetik ayat dalam kitab Injil yang menghalalkan peperangan, sebagai reaksi tindakan ahli parlimen Belanda Geert Wilder menghina Islam menerusi filem bertajuk Fitna.
Raid Al-Saeed, 33, menunjukkan di dalam filemnya, beberapa petikan kitab Injil yang menggalakkan peperangan dan membuat tambahan dengan klip rakaman memperlihatkan kumpulan ekstremis Kristian menyampaikan ceramah berunsur keganasan. untuk lihat video tersebut: http://www.youtube.com/watch?v=rpiccERJaFk
Sambungan artikel:
“Saya menghasilkannya dalam tempoh kurang 24 jam. Dalam ‘Schism’ saya menggunakan metodologi sama digunakan Wilders dan ia membabitkan petikan yang disalah tafsir,” katanya. Beliau berkata langkah yang diambil untuk menghasilkan filem itu adalah bagi membuktikan bahawa adalah salah untuk mengadili dan menilai Islam dengan menonton Fitna.
Petikan ini dicatatkan Raid pada penghujung filemnya. “Memang mudah untuk memetik mana-mana bahagian dalam kitab suci dan menyalah tasfirkan petikan itu sehingga membuat ia seolah-olah kelihatan seperti sebuah kitab yang tidak mempunyai nilai kemanusiaan.”
“Inilah yang dilakukan Geert Wilders untuk mendapat sokongan bagi ideologinya yang penuh perasaan kebencian. Berikutan itu saya menghasilkan Schism sebagai satu reaksi balas,” katanya.
Raid berkata beliau tidak percayai ada kitab suci menggalakkan keganasan dan pertumpahan darah. Beliau berkata Fitna dibuat ‘berasaskan kebencian’ dan Wilders menyalahgunakan ‘kebebasan bersuara yang dinikmatinya,”
kata beliau yang menambah, filem Wilders menunjukkan perasaan perkauman dan kebencian yang dimilikinya.
Apabila Raid mengirim klipnya ke YouTube pada 1 Mac, ia dibatalkan 12 jam kemudian dengan satu pesanan daripada laman itu yang menyatakan klip berkenaan bercanggah dengan terma yang ditetapkan.
Raid menulis semula kepada You Tube dan bertanya mengapa filemnya dibatalkan sedang Fitna dibenarkan untuk terus dilayari. Beliau memuat naik filem itu sekali lagi dan menambah mesej kepada pentadbir laman meminta mereka menyaksikan Wilders sebelum membatalkan ‘Schism’.
Video beliau sudah disaksikan lebih 1,800 kali dan kembali semula ke YouTube sejak 2 Mac. Ia juga boleh disaksikan melalui Google.
Raid menegaskan matlamat beliau bukan untuk menyemarakkan kebencian sebaliknya untuk memberitahu dunia bahawa seseorang itu tidak boleh mengadili sesuatu agama atau ideologi dengan tafsiran yang menyalahi hakikat dan perkara sebenar. – Agensi

Ini adalah post dari blog abgfir di http://abgfir.blogspot.com/ . Kebiadaban pelampau di barat terhadap Islam amat wajar dibalas dengan cara yang sama seperti mana yang telah mereka lakukan terhadap Islam. Seluruh ummat Islam hendaklah bersatu hati memboikot semua produk dari Belanda kerana dengan cara ini dapat melumpuhkan ekonomi negara tersebut dan menjadi pengajaran terhadap mereka agar lebih berhati-hati untuk tidak menghina Islam ini dengan sewenang-wenangnya.

Khamis, 20 Mac 2008

Negeri berkebajikan - merealisasikan manifesto PRU-12

Negeri-negeri yang telah dimenangi oleh Barisan Rakyat telah pun selesai menerima watikah perlantikan menteri besar dan ketua menteri masing-masing.Cabaran perlantikan di peringkat awal telah dimanipulasikan oleh media-media arus perdana dengan tujuan untuk menutupi kemelut yang berlaku di Perlis dan Terengganu yang dimenangi oleh BN ketika itu.Kini perlantikan MB Perlis juga telah selesai apabila calon menteri besar yang baru menerima watikah perlantikan tersebut baru-baru ini. Kini hanya Terengganu Darul Kristal sahaja yang masih menjadi tanda tanya.Bekas menteri besar masih lagi berharap agar dilantik semula supaya dapat mengaut pelbagai keuntungan dari berbagai-bagai projek yang bakal dijalankan.

Kelantan di bawah pimpinan TG Nik Abdul Aziz tiada menghadapi sebarang masalah.Seluruh rakyat Kelantan dengan penuh bijaksana telah bersatu hati mengekalkan kerajaan yang ada.Rakyat Kelantan tidak pernah merasa negeri mereka dalam kesakitan yang kritikal walaupun Najib mengatakan Kelantan perlukan rawatan rapi (ICU?).Nyata sekali negeri yang dilanda kesakitan adalah P.Pinang,Kedah,Perak dan Selangor,berikutan itu rakyat telah bertindak untuk merawat keempat-empat negeri ini.

KM Pulau Pinang YAB Lim Guan Eng telah mengumumkan memansuhkan semua saman yang dikeluarkan oleh PBT sebelum ini sebagai hadiah kepada rakyat P.Pinang serta menghapuskan DEB di negeri itu.Namun penghapusan DEB telah dijadikan isu oleh mereka yang merasa tidak dapat lagi mengaut keuntungan atas nama Melayu. Sedangkan selama ini orang Melayu masih lagi berada di tahap kemiskinan walaupun ada DEB. Dengan adanya DEB yang kaya semakin kaya dan yang miskin akan terus kekal dalam kemiskinan.Siapakah yang kaya? Pastinya semua pemimpin-pemimpin UMNO serta suku-sakat mereka.Mereka merompak segala projek dan tender kerajaan. Polisi kerajaan baru P.Pinang hari ini ialah sesiapa sahaja yang susah mereka akan dibantiu tanpa mengira kaum dan agama.Rakyat harus memberi peluang kepada kerajaan baru ini untuk membuat perubahan dan tidak termakan hasutan oleh puak-puak yang tewas yang cuba mewujudkan suasana yang tegang seolah-olah hanya BN sahaja yang mampu membawa keamanan,keselamatan dan kemakmuran.Kita mesti percaya tidak ada seorang pun dari kalangan kita yang suka pergaduhan dan suasana yang tidak tenteram.

Menteri Besar Selangor yang baru YAB TanSri Khalid Ibrahim baru-baru ini mengumumkan rakyat negeri ini akan menikmati bekalan air percuma sebanyak 20 meter padu yang pertama. Pengumuman ini telah disambut baik oleh seluruh rakyat Selangor. Kita percaya Selangor bukan sahaja akan terus menjadi negeri maju, bahkan akan menjadi negeri kebajikan apabila kerajaan negeri melaksanakan manifestonya.Walaupun selama ini Selangor dikenali sebagai negeri maju, tetapi masih ramai lagi penduduk negeri ini yang dihimpit kemiskinan,tidak mempunyai tanah sendiri seperti penduduk setinggan.Kerajaan BN negeri ini telah banyak menindas rakyat dengan merobohkan penempatan-penempatan setinggan serta rumah-rumah ibadat seperti surau dan kuil.Kita percaya antara punca kejatuhan BN di negeri ini adalah dari doa-doa mereka yang ditindas dan dizalimi oleh kerajaan BN.Khair Toyo lupa kepada kuasa yang lebih mengatasinya. Dia lupa bahawa rakyat adalah amanah ALLAH yang perlu dijaga dan diberi keutamaan.

Kepada semua KM,MB EXCO dan ADUN dari Barisan Rakyat, jadikanlah semua perkara yang telah berlaku sebagai satu iktibar dan pengajaran dalam pentadbir kerajaan negeri masing-masing.Dengarilah rintihan suara hati rakyat,sedialah membuka pintu untuk rakyat bertemu dan rapatkanlah hubungan agar rakyat tidak merasa tersisih. Mudah-mudahan Allah memudahkan urusan YAB dan YB sekelian untuk mentadbir apabila YAB dan YB sekelian memudahkan urusan rakyat.

Sekalung tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan

PRU-12 telah pun 12 hari berlalu dengan pelbagai perubahan suasana politik semasa sama ada di negeri-negeri yang ditadbir oleh Barisan Rakyat atau pun yang masih ditadbir oleh BN. Walau apa pun,kita perlu melihat perubahan ini secara positif. Barisan Rakyat yang telah berjaya dibentuk kini sedang berusaha untuk merealisasikan manifesto mereka. Rakyat yang telah memilih mereka perlu memberi sokongan padu kepada pemimpin yang telah dipilih. Tidak sepatutnya mereka terpengaruh dengan segala isu yang sedang dimainkan oleh BN bagi menunjukkan rakyat 'tersalah pilih' atau termakan segala janji-janji pembangkang semasa berkempen.

Sebagai rakyat yang cintakan kemakmuran dan kedamaian hendaklah bersatu hati tanpa menimbulkan segala isu yang boleh menimbulkan prasangka buruk di antara satu sama lain. BN memlalui UMNO sedang memainkan isu DEB. Rakyat perlu sedar DEB selama ini telah gagal membangunkan ekonomi orang-orang Melayu kerana jika kita lihat di merata-rata tempat masih ramai lagi orang Melayu yang hidup miskin, susah untuk mendapat peluang-peluang perniagaan kerana peluang-peluang yang ada dan sepatutnya menjadi milik rakyat telah menjadi hak milik mereka yang ada hubungkaitnya dengan pemimpin-pemimpin UMNO. Akhirnya yang kaya adalah mereka dan yang miskin akan terus miskin kerana peluang-peluang tersebut telah tertutup untuk mereka.

Tindakan KM Pulau Pinang untuk memberi peluang dan keutamaan tanpa mengira kaum perlu dilihat secara positif di mana pengagihan akan dibuat mengikut keutamaan dan keperluan tanpa mengambil kira latarbelakang sesuatu bangsa atau kaum. Setiap rakyat wajar untuk mengecapi keselesaan hidup. Adalah menjadi kewajipan pemerintah memastikan rakyat dapat hidup dalam keadaan yang selesa.

Kerajaan baru Selangor yang dipimpin oleh YAB Tan Sri Khalid Ibrahim kini sedang memacu negeri ini ke arah negeri maju dan berkebajikan. Pemberian air secara percuma sebanyak 20 meter padu yang pertama telah disambut dengan rasa syukur oleh seluruh rakyat Selangor. Inilah antara kebajikan rakyat yang tidak pernah difikirkan oleh pemimpin terdahulu. Sebaliknya mereka hanya berfikir bagaimana mereka boleh mengaut keuntungan di atas penderitaan rakyat.

Sekalung tahniah dan penghargaan untuk seluruh rakyat Malaysia yang telah memilih Barisan Rakyat untuk memimpin dan memelihara kebajikan rakyat. Tahniah juga kepada seluruh Ahli Parlimen dan ADUN dari Barisan Rakyat yang telah memenangi kerusi, berjuanglah untuk mengembalikan hak rakyat dan berilah pembelaan terhadap nasib rakyat yang tertindas selama ini.